TAHUN 2013, 12 Mac, aku lihat jam di tangan. 11.30 malam.
Agak lewat memandang esok aku perlu bekerja pagi. Aku masih berlegar di kancah
hospital. Tanganku berpeluh. Degup jantungku bergetar. Aku perlu kuat.
“Epi, teman aku makan sat. Lapo dowh…Kes tengah tak banyak
ni. Boleh la kaput sat…Sampel ko, aku dah run, lagi sejam kita tau result orait…”
ajak sahabatku.
“Atau kau nak balik pi? Esok aku text la result tu”
“ohhh takpe…aku teman kau makan. Kau pun dah tolong aku
kan…” lembut aku terima pelawaannya.
Sejam menunggu masa berlalu, aku tunjukkan diri aku cekal, cukup tabah untuk terima apa jua dugaan. Walhal apa saja diborakkan sahabatku itu, sedikit pun tak tersinggah dalam kotak fikiranku. Aku risau. Semakin laju jantungku berdegup.
Sehinggalah detik yang aku tunggu, TIBA…
Waktu sudah melepasi tengah malam. Aku temani sahabatku
menyusuri laluan ke suatu bilik gelap. Aku capai keputusan sampelku…
“Ya Allah...!!!!!!”
Tersentak jantungku seketika. Kakiku lemah seakan tidak
memijak bumi. Mataku berat menahan kesedihan.
Aku melangkah menuju ke tempat aku berlindung. Aku masih belum boleh menerima kenyataan. Telefonku
tak henti berdering. KAU ingin mengetahui. Jarak memisahkan untuk KAU menemani aku ketika waktu sebegini. Aku
khabarkannya mudah. Terima kasih kerana KAU sudi bersamaku. Namun, aku inginkan
sendirian. Diriku kaku.
Aku cuba bangkit dari sedihku. Aku segarkan wajah,tangan dan kakiku. Tiga kali setiapnya. Laluku hamparkan sejadah.
“Allahuakbar…” suaraku sayu. Berderai air mataku gugur ke
bumi. Mengigil segala tubuhku menyembah kepadaNya.
“Aku terlalu bersalah, Ya Allah. Aku mohon maaf…semaaf
maafnya kerana ingkar kepada perintahMu. Bertahun lamanya aku ingkar. Aku
angkuh dengan nikmat yang Kau berikan. Mulutku celupar menentang keesaanMu…”
Malam ini Kau tunjukkan segalanya.
Hanya kepadaMu aku berserah. Memang, penyesalan sebegini sudah terlewat. Masa
telah berlalu dan tidak akan kembali. Apa yang berlaku ke atasku, aku harus TELAN pahitnya. Aku terima segala pembalasan di atas kesilapanku.
Aku cari IQRA yang sudah lama aku sembunyikan.
Fuhhhhhhhhh…ku tiup dedebu yang telah lama mengalasinya.
“Ba…Ba…A,…Bi…A…Ba” bergetar
suaraku. Semakin laju air mataku berderai. Semuanya sudah terlambat.
Sudah terlambat untuk aku pelajari ilmuMu. Umurku lanjut, ilmu duniaku tinggi
tapi aku seakan budak kecil yang baru kenal hurufMu.
Aku lihat sekeliling rumahku. Aku lihat segala nikmat dunia
yang telah aku kecapi. MUSNAHHHHHHHH. Itu saja yang mampu aku fikirkan. Segala
kerjayaku, kehidupanku yang aku bina selama ini...dalam sekelip mata, Yang Esa
mampu menariknya semula. Aku angkuh. Aku terlupa akan KESERONOKAN dan NIKMAT kurasai hari ini tidak akan
kekal selama-lamanya. Fikiranku kolot.
Aku perlukan peneman. Aku perlukan pembimbing. Kerana
itulah, aku kerap mencari KAU. Aku menyesal segala perbuatanku yang merendah-rendahkan
KAU ketika KAU cuba memujiNya. Aku menyesal sikap munafikku yang melarang
KAU sujud kepadaNya. Aku menyesal akan segala perbuatanku yang selama ini tidak
menghargai KAU. Dan dalam dugaan kulalui ini, KAU juga yang masih berdiri bersama...mententeramkanku.
Tidak cukup itu, aku mula rapat dengan sahabat lama.
PEREMPUAN. M namanya. Aku ceritakan segalanya. Daripada kejahilanku di dalam
agama, kerakusanku dalam kehidupan yang tidak berbatas dan dugaan yang sedang
aku tempuhi. SEGALANYA. "Astaghfirullahaldzim…" itu saja yang mampu M ungkapkan.
“Sudah lama, kami perhatikan. Kami ada cuba menegur. Dari
zaman belajar dulu. Tapi tak diendahkan” ujar M ringkas.
Tapi aku bersyukur, M tak menolak diriku. Perlahan-lahan M
pimpin tanganku. Tiap kali matahari melabuhkan surianya, pasti aku terima
pesanan M mengingatkan aku untuk pelajari ilmuMu.
“Masih belum terlambat selagi kita bernafas di bumiNya”
Dihadiahnya aku buku
untuk aku kenal indahnya hidup bersyariatkan Islam. Diberinya aku zikir-zikir dan
alunan nasyid untuk aku perdengarkan di halwa telingaku.
“Terima kasih Ya Allah, kerana memberi aku dugaan seperti
ini. Terima kasih kerana Kau berikan kesempatan dengan HidayahMu untuk membuka
khilafku mengingatiMu. Terima kasih kerana Kau masih menyayangi hambaMu ini”
Rentetan dengan apa yang aku tempuhi, aku masih mencari PENAWARNYA. Sungguhpun aku bermula perlahan, aku kekalkan momentumku dengan apa yang wajar aku rawatkan. Masa pantas berlalu, amalan harianku kian memberi reaksi positif. Satu per satu titik dugaanmu lenyap tidak kembali pada tubuhku...
“Ya Allah, aku takut. Aku takut kiranya Kau pisahkan aku
dari dugaanMu, apakah aku mampu mengingatiMu? KEKALKANLAH HIDAYAHMu.”
Pernah…di saat sedang aku mula memupuk iman di dada, aku diuji.
Aku dipertemu dengan seseorang yang telah lama tidakku bertentang mata. Molek
wajahnya, segak dadanya. Lantas, ditanggalkannya pula satu per satu
lilitan benang pada tubuhnya.
Meskipun sebegitu, aku bersyukur, aku berjaya menepisnya. Aku menolak ajakannya
bahkan aku berkongsi bersama hidayah yang Kau berikan kepadaku. Kuatkan aku, Ya
Allah.
Aku percaya... Di setiap nur yang Kau berikan, akan Kau
selitkan jua ujian agar hambaMu tidak lupa. Agar sentiasa beringat kepadaMu.
Mudah-mudahan Kau berikan aku ruang untuk BERISTIQOMAH mengenalMu.
* * * * * *
6 BULAN TELAH BERLALU dan segala ingatanku kepadaMu semakin
ada pengisiannya. Alhamdulillah. Sehinggalah pabila aku benar-benar sihat, aku mula lalai
dengan ujianMu.
Baik bahasa ditutur, sopan tingkahnya. Solat dijaga, sejuk hatiku melihat DIA mengingatiMu. Aku terpaku melihat dirinya.
Aku berkenalan dengan DIA.
Baik bahasa ditutur, sopan tingkahnya. Solat dijaga, sejuk hatiku melihat DIA mengingatiMu. Aku terpaku melihat dirinya.
Namun, adakah mataku kabur dengan lakunya yang membuat aku
menerima DIA dalam kehidupanku?
Terjadilah pada suatu malam, AKU TERLENA BERSAMA DIA. Diriku tersentak seketika. Apakah benar yang sedang aku lakukan? APAKAH AKU TEWAS? Aku cuba mencari jawapannya. Aku bangkit dari lenaku. Aku biarkan DIA dibuai kesunyian malam. Aku capai surahMu. Tergagap satu persatu aku menyebut ayatmu. Suaraku menggigil, air mataku gugur dan hatiku memohon kepadaMu...
“Ya Allah, jika benar Kau wujudkan DIA untuk membimbingku,
aku bersyukur dengan apa yang Kau kirimkan, namun, jika ini ujian yang Kau
berikan kepadaku, Kau berikan aku ruang untuk sama-sama membawanya ke arahMu.
Aku berjanji akan menjaga DIA…Maafkan aku”
Tapi, apa yang aku fikirkan sebenarnya? Adakah aku terlalu EGO dan SEGAN untuk tunjukkan kepada DIA yang diriku sedang mengenalMu? Atau apakah aku terlalu risaukan DIA menjalinkan sesuatu jika aku tidak memuaskan serakahnya?
Pendekatanku salah. Aku
banyak menguji DIA. Aku terlalu jahil mencari keikhlasan DIA yang akhirnya
membenam nawaituku sendiri.
Tidak cukup dengan itu, aku kerap kali menidakkan khabar yang aku sedang mengenaliMu. Sikap ragu-ragu aku mengatasi segalanya. Kenapa harus aku perlaku sebegini?
- Kenapa perlu aku MEMPERJUDI lakonanku untuk tidak solat
semata-mata untuk menguji DIA??
- Kenapa aku mengatakan tidak kepada DIA sedangkan aku SUJUD menyembahMu??
- Kenapa aku diamkan dari DIA untuk mengatakan aku sedang BERPUASA sunat??
- Kenapa aku perlu menyorok dari DIA sedangkan aku di dalam RUMAHMu??
- Kenapa perlu aku mengatakan aku sedang tidur walhal YASSIN yang sedang aku bacakan??
- Kenapa perlu aku mengatakan aku mengalirkan AIR IBLIS di
dalam tubuhku sedang tidak seumur hidupku pernah memegangnya?
Hari berganti hari, kelalaianku semakin menguasai. Aku lupa dugaan yang pernah Kau berikan. Setiap kali aku bertemu DIA, setiap kali itu juga aku semakin jauh mengenalMu. Sikapku untuk menolakMu semakin tidak terbendung. Aku gembira...adanya DIA, Kau berikan aku kehidupan yang jarang kurasai namun bukan KESERONOKAN yang aku sasarkan. Aku tersepit di antara NAFSU dan JANJI.
“rasa seperti kehadiran
aku ini, buat kau semakin jauh dari Allah. Dulu kau ingin kenaliNya. Kita patut
kurangkan semua ini, supaya kau tak menyimpang”
Namun, kekallah ia hanya sekadar WADAH MANIS yang jauh dari dunia realiti. Diriku semakin dinoda. Kealpaan aku
semakin menjadi. Aku seakan kembali ke dalam DUNIA GELAPKU.
Tapi benar orang kata, setiap niat baik yang kita lafazkan tidak ubah seperti doa. Tuhan benar-benar makbulkan. Tuhan LENYAPKAN DIA. Dan sekali lagi kehidupanku tersentak. Suatu yang paling aku sayangi,
hilang sekelip mata. Apakah ini balasanMu kerana salah pengisianku atas nikmat
yang Kau beri? Tangisanku kembali...menemani di setiap hening malamku. Teringin sekali
aku bersujud kepadaMu memohon ketenangan dan kesabaran, mengenang pemergian DIA. Aku tahu, hanya
doa dan munajat yang mampu mententeramkan lenaku.
- Tiada lagi momen yang selalu ingatkan aku tentang solah.
- Tiada lagi kudengar merdunya suara imam membaca.
- Dan angan-anganku untuk bersama belajar bacaanMu, akhirnya KEKAL menjadi angan-angan.
Ya, aku bodoh. Aku silap mencatur apa yang Kau beri. Yang aku
rasa ada kebaikan datangnya DIA kepada aku, tapi tidak aku syukuri. Mungkin juga
benar, ada DIA, aku lupa kepadaMu. Maafkan aku, Ya Allah.
Aku tidak melawan ketentuanMu. Aku berterima kasih kerana Kau PISAHKAN aku dari NAFSU DOSA. Aku berterima kasih, kerana Kau masih menyuluh aku ke jalanMu. Kau masih sudi menyedarkan aku, bahawa hanya Kau yang mampu berikan ketenangan kepadaku.
Cuma
aku bersedih kerana aku gagal membimbing DIA. Aku bersedih kerana aku GAGAL
kotakan JANJIKU kepadaMu.












i'tiraf = sebuah pengakuan
ReplyDelete