Tuesday, September 9, 2014

~I'tiraf (Sebuah Pengakuan): AKU, KAU dan DIA~

TAHUN 2013, 12 Mac, aku lihat jam di tangan. 11.30 malam. Agak lewat memandang esok aku perlu bekerja pagi. Aku masih berlegar di kancah hospital. Tanganku berpeluh. Degup jantungku bergetar. Aku perlu kuat.

“Epi, teman aku makan sat. Lapo dowh…Kes tengah tak banyak ni. Boleh la kaput sat…Sampel ko, aku dah run, lagi sejam kita tau result orait… ajak sahabatku.

Terasa diri hampa sebentar. Aku seperti tak sabar untuk ketahui keputusannya.

“Atau kau nak balik pi? Esok aku text la result tu”

“ohhh takpe…aku teman kau makan. Kau pun dah tolong aku kan…” lembut aku terima pelawaannya.

Sejam menunggu masa berlalu, aku tunjukkan diri aku cekal, cukup tabah untuk terima apa jua dugaan. Walhal apa saja diborakkan sahabatku itu, sedikit pun tak tersinggah dalam kotak fikiranku. Aku risau. Semakin laju jantungku berdegup. 

Sehinggalah detik yang aku tunggu, TIBA…

Waktu sudah melepasi tengah malam. Aku temani sahabatku menyusuri laluan ke suatu bilik gelap. Aku capai keputusan sampelku…

“Ya Allah...!!!!!!”

Tersentak jantungku seketika. Kakiku lemah seakan tidak memijak bumi. Mataku berat menahan kesedihan.

Aku melangkah menuju ke tempat aku berlindung. Aku masih belum boleh menerima kenyataan. Telefonku tak henti berdering. KAU ingin mengetahui. Jarak memisahkan untuk KAU menemani aku ketika waktu sebegini. Aku khabarkannya mudah. Terima kasih kerana KAU sudi bersamaku. Namun,  aku inginkan sendirian. Diriku kaku.


Aku cuba bangkit dari sedihku. Aku segarkan wajah,tangan dan kakiku. Tiga kali setiapnya. Laluku hamparkan sejadah.

“Allahuakbar…” suaraku sayu. Berderai air mataku gugur ke bumi. Mengigil segala tubuhku menyembah kepadaNya.

“Aku terlalu bersalah, Ya Allah. Aku mohon maaf…semaaf maafnya kerana ingkar kepada perintahMu. Bertahun lamanya aku ingkar. Aku angkuh dengan nikmat yang Kau berikan. Mulutku celupar menentang keesaanMu…”

Malam ini Kau tunjukkan segalanya. Hanya kepadaMu aku berserah. Memang, penyesalan sebegini sudah terlewat. Masa telah berlalu dan tidak akan kembali. Apa yang berlaku ke atasku, aku harus TELAN pahitnya. Aku terima segala pembalasan di atas kesilapanku.

Aku cari IQRA yang sudah lama aku sembunyikan. Fuhhhhhhhhh…ku tiup dedebu yang telah lama mengalasinya.

“Ba…Ba…A,…Bi…A…Ba”  bergetar suaraku. Semakin laju air mataku berderai. Semuanya sudah terlambat. Sudah terlambat untuk aku pelajari ilmuMu. Umurku lanjut, ilmu duniaku tinggi tapi aku seakan budak kecil yang baru kenal hurufMu.

Aku lihat sekeliling rumahku. Aku lihat segala nikmat dunia yang telah aku kecapi. MUSNAHHHHHHHH. Itu saja yang mampu aku fikirkan. Segala kerjayaku, kehidupanku yang aku bina selama ini...dalam sekelip mata, Yang Esa mampu menariknya semula. Aku angkuh. Aku terlupa akan KESERONOKAN dan NIKMAT kurasai hari ini tidak akan kekal selama-lamanya. Fikiranku kolot.  
  
Aku perlukan peneman. Aku perlukan pembimbing. Kerana itulah, aku kerap mencari KAU. Aku menyesal segala perbuatanku yang merendah-rendahkan KAU ketika KAU cuba memujiNya. Aku menyesal sikap munafikku yang melarang KAU sujud kepadaNya. Aku menyesal akan segala perbuatanku yang selama ini tidak menghargai KAU. Dan dalam dugaan kulalui ini, KAU juga yang masih berdiri bersama...mententeramkanku.

Tidak cukup itu, aku mula rapat dengan sahabat lama. PEREMPUAN. M namanya. Aku ceritakan segalanya. Daripada kejahilanku di dalam agama, kerakusanku dalam kehidupan yang tidak berbatas dan dugaan yang sedang aku tempuhi. SEGALANYA. "Astaghfirullahaldzim…" itu saja yang mampu M ungkapkan.

“Sudah lama, kami perhatikan. Kami ada cuba menegur. Dari zaman belajar dulu. Tapi tak diendahkan” ujar M ringkas.

Tapi aku bersyukur, M tak menolak diriku. Perlahan-lahan M pimpin tanganku. Tiap kali matahari melabuhkan surianya, pasti aku terima pesanan M mengingatkan aku untuk pelajari ilmuMu.

“Masih belum terlambat selagi kita bernafas di bumiNya”


Dihadiahnya aku buku untuk aku kenal indahnya hidup bersyariatkan Islam. Diberinya aku zikir-zikir dan alunan nasyid untuk aku perdengarkan di halwa telingaku.

Namun, rasa penyesalan diriku masih belum nampak titik noktahnya. Mataku masih bergenang tiap kali aku melihat SAKITKU ini. Setiap kali aku terjaga dari lelapku, aku cuba litupi sedihku dengan BERTAHAJUD kepadaMu. Aku cuba BERMUNAJAT mudah-mudahan dugaanku ini menyisih. Aku BERSUJUD TAUBAT memohon kemaafanMu.

“Terima kasih Ya Allah, kerana memberi aku dugaan seperti ini. Terima kasih kerana Kau berikan kesempatan dengan HidayahMu untuk membuka khilafku mengingatiMu. Terima kasih kerana Kau masih menyayangi hambaMu ini”

Rentetan dengan apa yang aku tempuhi, aku masih mencari PENAWARNYA. Sungguhpun aku bermula perlahan, aku kekalkan momentumku dengan apa yang wajar aku rawatkan. Masa pantas berlalu, amalan harianku kian memberi reaksi positif. Satu per satu titik dugaanmu lenyap tidak kembali pada tubuhku...

“Ya Allah, aku takut. Aku takut kiranya Kau pisahkan aku dari dugaanMu, apakah aku mampu mengingatiMu? KEKALKANLAH HIDAYAHMu.

Pernah…di saat sedang aku mula memupuk iman di dada, aku diuji. Aku dipertemu dengan seseorang yang telah lama tidakku bertentang mata. Molek wajahnya, segak dadanya. Lantas, ditanggalkannya pula satu per satu lilitan benang pada tubuhnya.

Meskipun sebegitu, aku bersyukur, aku berjaya menepisnya. Aku menolak ajakannya bahkan aku berkongsi bersama hidayah yang Kau berikan kepadaku. Kuatkan aku, Ya Allah.

Aku percaya... Di setiap nur yang Kau berikan, akan Kau selitkan jua ujian agar hambaMu tidak lupa. Agar sentiasa beringat kepadaMu. Mudah-mudahan Kau berikan aku ruang untuk BERISTIQOMAH mengenalMu.

*      *      *      *      *      *
6 BULAN TELAH BERLALU dan segala ingatanku kepadaMu semakin ada pengisiannya. Alhamdulillah. Sehinggalah pabila aku benar-benar sihat, aku mula lalai dengan ujianMu.


Aku berkenalan dengan DIA. 

Baik bahasa ditutur, sopan tingkahnya. Solat dijaga, sejuk hatiku melihat DIA mengingatiMu. Aku terpaku melihat dirinya.

Namun, adakah mataku kabur dengan lakunya yang membuat aku menerima DIA dalam kehidupanku?


Terjadilah pada suatu malam, AKU TERLENA BERSAMA DIA. Diriku tersentak seketika. Apakah benar yang sedang aku lakukan? APAKAH AKU TEWAS? Aku cuba mencari jawapannya. Aku bangkit dari lenaku.  Aku biarkan DIA dibuai kesunyian malam. Aku capai surahMu. Tergagap satu persatu aku menyebut ayatmu. Suaraku menggigil, air mataku gugur dan hatiku memohon kepadaMu...

“Ya Allah, jika benar Kau wujudkan DIA untuk membimbingku, aku bersyukur dengan apa yang Kau kirimkan, namun, jika ini ujian yang Kau berikan kepadaku, Kau berikan aku ruang untuk sama-sama membawanya ke arahMu. Aku berjanji akan menjaga DIA…Maafkan aku”


Tapi, apa yang aku fikirkan sebenarnya? Adakah aku terlalu EGO dan SEGAN untuk tunjukkan kepada DIA yang diriku sedang mengenalMu? Atau apakah aku terlalu risaukan DIA menjalinkan sesuatu jika aku tidak memuaskan serakahnya?


Pendekatanku salah.  Aku banyak menguji DIA. Aku terlalu jahil mencari keikhlasan DIA yang akhirnya membenam nawaituku sendiri.

Tidak cukup dengan itu, aku kerap kali menidakkan khabar yang aku sedang mengenaliMu. Sikap ragu-ragu aku mengatasi segalanya. Kenapa harus aku perlaku sebegini?

  • Kenapa perlu aku MEMPERJUDI lakonanku untuk tidak solat semata-mata untuk menguji DIA??
  • Kenapa aku mengatakan tidak kepada DIA sedangkan aku SUJUD menyembahMu??
  • Kenapa aku diamkan dari DIA untuk mengatakan aku sedang BERPUASA sunat??
  • Kenapa aku perlu menyorok dari DIA sedangkan aku di dalam RUMAHMu??
  • Kenapa perlu aku mengatakan aku sedang tidur walhal YASSIN yang sedang aku bacakan??
  • Kenapa perlu aku mengatakan aku mengalirkan AIR IBLIS di dalam tubuhku sedang tidak seumur hidupku pernah memegangnya?


Hari berganti hari, kelalaianku semakin menguasai. Aku lupa dugaan yang pernah Kau berikan. Setiap kali aku bertemu DIA, setiap kali itu juga aku semakin jauh mengenalMu. Sikapku untuk menolakMu semakin tidak terbendung. Aku gembira...adanya DIA, Kau berikan aku kehidupan yang jarang kurasai namun bukan KESERONOKAN yang aku sasarkan. Aku tersepit di antara NAFSU dan JANJI.

Pernah berulang kali DIA ungkapkan…
“rasa seperti kehadiran aku ini, buat kau semakin jauh dari Allah. Dulu kau ingin kenaliNya. Kita patut kurangkan semua ini, supaya kau tak menyimpang”

Namun, kekallah ia hanya sekadar WADAH MANIS  yang jauh dari dunia realiti. Diriku semakin dinoda. Kealpaan aku semakin menjadi. Aku seakan kembali ke dalam DUNIA GELAPKU.


Tapi benar orang kata, setiap niat baik yang kita lafazkan tidak ubah seperti doa. Tuhan benar-benar makbulkan. Tuhan LENYAPKAN DIA. Dan sekali lagi kehidupanku tersentak. Suatu yang paling aku sayangi, hilang sekelip mata. Apakah ini balasanMu kerana salah pengisianku atas nikmat yang Kau beri? Tangisanku kembali...menemani di setiap hening malamku. Teringin sekali aku bersujud kepadaMu memohon ketenangan dan kesabaran, mengenang pemergian DIA. Aku tahu, hanya doa dan munajat yang mampu mententeramkan lenaku.
  • Tiada lagi momen yang selalu ingatkan aku tentang solah
  • Tiada lagi kudengar merdunya suara imam membaca. 
  • Dan angan-anganku untuk bersama belajar bacaanMu, akhirnya KEKAL menjadi angan-angan.

Ya, aku bodoh. Aku silap mencatur apa yang Kau beri. Yang aku rasa ada kebaikan datangnya DIA kepada aku, tapi tidak aku syukuri. Mungkin juga benar, ada DIA, aku lupa kepadaMu. Maafkan aku, Ya Allah. 


Aku tidak melawan ketentuanMu. Aku berterima kasih kerana Kau PISAHKAN aku dari NAFSU DOSA. Aku berterima kasih, kerana Kau masih menyuluh aku ke jalanMu. Kau masih sudi menyedarkan aku, bahawa hanya Kau yang mampu berikan ketenangan kepadaku. 

Cuma aku bersedih kerana aku gagal membimbing DIA. Aku bersedih kerana aku GAGAL kotakan JANJIKU kepadaMu.


1 comment: